Tuesday 5 March 2013

2. Nilai murni 'kerjasama'



Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia, kita perlu hidup saling bergantungan antara satu sama lain. Sikap mementingkan diri dan ‘bodoh sombong’ akan membinasakan diri sendiri akhirnya. Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah ini. Asas yang perlu ada dalam diri setiap individu adalah sikap ingin bertanya dan menambah ilmu pengetahuan. Bak kata pepatah 'malu bertanya sesat jalan'.

          Walaupun kita yakin pada diri sendiri dalam melakukan sesuatu, tidak mungin perkara tersebut dapat dilakukan dengan jayanya tanpa bantuan daripada pihak lain. Contoh, kita merancang untuk mengadakan sebuah program  baktisiswa. Sebagai pengarah program atau ketua, kita perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengendalikan program tersebut. Kejayaan program ini akan dikecapi apabila kita mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.

           Nilai murni 'kerjasama' dapat didefinisikan sebagai usaha yang dilakukan bersama-sama atau saling membantu antara dua atau beberapa pihak. Kita lebih mudah untuk bekerjasama dengan pihak luar apabila mempunyai kemahiran bahasa yang baik. Seseorang yang pandai dan bijak berkata-kata mampu menjalinkan kerjasama yang erat dengan semua pihak. Penggunaan bahasa yang lembut dan kata-kata yang indah mampu meyakinkan pihak luar untuk bekerjasama dengan kita. Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan bahasa penting dalam menjalinkan kerjasama dengan pihak lain.  

          Penggunaan bahasa merupakan salah satu aspek yang penting dalam komunikasi. Apabila kita ingin menarik minat orang lain, kata-kata yang dituturkan perlulah mengikut tahap pendidikan atau latar belakang orang yang kita ingin berinteraksi. Maka, kerjasama yang ingin kita jalankan dapat berjalan dengan baik dan lancar. Perkara utama yang kita perlu titik beratkan adalah jangan membezakan orang yang ingin kita lakukan kerjasama berdasarkan bangsa dan agamanya. Kita perlu ada semangat perpaduan dan menjalinkan kerjasama dengan semua kaum yang ada di Malaysia.

Sekadar selingan untuk pembaca :
‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ - sesuatu pekerjaan yang dilakukan bersama-sama.

No comments:

Post a Comment