Friday, 5 April 2013

25. Penggunaan Tanda Sempang

 

Saya terlihat beberapa kesalahan yang dilakukan dalam risalah dan memo yang diedarkan atau ditampal di sekeliling kawasan tempat tinggal saya. Kesalahan ketara yang telah dikesan dalam risalah dan memo ini adalah penggunaan tanda sempang. Terdapat 8 cara untuk menggunakan tanda sempang.

1. Bagi kata ulang yang diulang sepenuhnya, tanda sempang dibubuh pada bahagian kata yang diulang itu. Contohnya :
  • anai-anai 
  • anak-anak
  • biri-biri
  • budak-budak 
  • cantik-cantik
2. Bagi kata ulang yang dalam pengulangannya mengalami perubahan bunyi atau fonem, tanda sempang dibubuh antara kata dasar dan kata yang diulang.
Contohnya :
  • bukit-bukau
  • dolak-dalik
  • gerak-geri
  • gunung-ganang
  •  huru-hara
3. Bagi kata terbitan yang kata dasarnya diulang, tanda sempang dibubuh antara bahagian-bahagian kata yang diulang.
Contohnya :
  • anak-anakan
  • akhir-akhirnya
  • bermain-main
  • berpeluk-pelukan 
  • bersiri-siri
4. Tanda sempang digunakan apabila awalan se- diikuti oleh kata nama khas yang huruf awalnya huruf besar.
Contohnya :
  • se-Nusantara
  • se-Malaysia
  • se-Tanah Melayu
5. Tanda sempang digunakan untuk merangkaikan huruf kecil dengan huruf besar pada kata yang sama.
Contohnya :
  • anti-Rusia
  • hamba-Mu
  • kepada-Nya
  • petunjuk-Nya
  • pro-Malaysia
6. Tanda sempang digunakan untuk merangkaikan angka yang menunjukkan tahun dengan akhiran-an.
Contohnya :
  • tahun 50-an
  • tahun 60-an
  • tahun 70-an
7. Tanda sempang digunakan untuk merangkaikan awalam ke- dengan angka.
Contohnya :
  • ke-17
  • ke-100
  • ke-1519
8. Tanda sempang digunakan untuk menyatakan hubungan antara kata-kata pada rangkai kata setara tertentu atau rangka kata istilah.
Contohnya :
  •  alat pandang-dengar
  • duti anti-lambak
  • mikro-zat makanan
  • lima butir-isi peluru
  • penyesuai-ikliman
(Rujukan : Abdul Hamid Mahmood (2010:156-160). Menguasai Bahasa Melayu Tinggi)

Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
"Jauhari juga yang mengenal manikam" = Hanya orang yang bijak sahaja mengetahui tentang sesuatu ilmu.

Thursday, 4 April 2013

24. Aspek Fonologi - Dialek Utara

Terdapat masalah-masalah sebutan yang berlaku dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana wujudnya variasi-variasi daripada satu bahsa tertentu yang begitu kuat mempengaruhi bahasa penutur tersebut. Keadaan dialek atau variasi-variasi bahasa itu berbeza dari segi bentuk bahasa yang baku terutamanya dari segi sebutan, perbendaharaan kata dan tatabahasa.

    Dari segi sebutan bunyi-bunyi bahasa yang biasanya terseleweng daripada sebutan yang sebenar, iaitu dalam bahasa baku dapat dilihat dalam dialek-dialek negeri.

Contoh dalam dialek utara :
  1. Getaran gusi [ r ] di awal dan di tengah kata dibunyikan secara geseran lelangit lembut bersuara [ y ].
  2. Bunyi [ r ] di akhir kata digantikan dengan hentian glotis [ ? ] dan vokal al sebelum dinasalkan.
  3. Sisian [ l ] di akhir perkataan dilenyapkan dan digantikan dengan bunyi [ i ].
  4. Geseran gusi tidak bersuara [ s ] di akhir kata digantikan dengan [ h ] geseran tekak tidak bersuara. 
  5. Bunyi-bunyi vokal juga turut berubah. Umpamanya, [ a ] menjadi [ Ɛ ] dan [ u ], [ ui ].
Contoh-contoh sebutan yang kerap didengar :
  1. Ekor = Ekoq
  2. Kapal = Kapai
  3. Tulus = Tuluih
  4. Kecil = Kecik
  5. Pukul = Pukoi
  6. Ular = Ulaq
Dari segi leksikal pula ada beberapa perkataan yang tidak biasa digunakan dalam bahasa baku tetapi digunakan dalam bahasa dialek utara.
  1. Awak = Hang
  2. Mereka = Depa
  3. Sebentar = sat
  4. Apa pasal = awat 
(Rujukan : Kamaruddin Haji Husin (1999:245-246). Pengajaran Lisan : Kemahiran Mendengar dan Bertutur)
Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
"Yang lama dikelek, yang baharu didukung" = Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Wednesday, 3 April 2013

23. Bahasa Putar Belit

Bahasa putar-belit ialah sejenis gaya bahasa yang digunakan untuk mengawal tingkah laku orang lain. Gaya bahasa ini mudah digunakan. Walau bagaimanapun, gaya ini senang dikesan oleh orang yang terkena 'putar'. Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk memutar belit emosi seseorang.

  1. Menimbulkan rasa bersalah = Mengatakan sesuatu yang membuatkan seseorang rasa bersalah
  2. Menimbulkan rasa berdosa = Mengungkit-ungkit kesilapan yang lalu
  3. Berdusta = Mengada-adakan cerita dan alasan supaya seseorang mengikut katanya.
  4. Memuji-muji = Pujian yang ada udang di sebalik batu
  5. Mengugut = Ancaman
    Kajian pakar psikologi mendapati, gaya bahasa putar-belit cuma boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang. Putar-belit tidak boleh mengubah sikap dan pemikiran orang tersebut. Bahasa ini juga hanya dapat mengubah tingkah laku apabila mereka berada depan mata orang itu sahaja. Orang tidak suka diri mereka diputarbelitkan. Oleh itu, mereka akan membalas putar-belit itu dengan cara mereka sendiri.

(Rujukan : Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (2006:123-125). Kemahiran Interpersonal untuk Guru)

Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
"Ada udang di sebalik batu" = Ada maksud tersembunyi di sebalik perbuatan seseorang.

Tuesday, 2 April 2013

22. Kata Kerja dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa melayu

Pensyarah saya amat menitikberatkan penggunaan kata kerja yang betul dan tepat dalam sukatan pelajaran untuk membuat objektif dalam rancangan pengajaran harian. Oleh itu, saya ingin berkongsi kata kerja yang terdapat dalam sukatan pelajaran dengan maksudnya yang dirujuk dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010).
  1. Berinteraksi = Bertindak (berhubungan secara aktif)
  2. Bersoal jawab = Bertanya jawab, berbahas, bertengkar
  3. Berbincang = Bertukar-tukar pendapat antara satu dengan yang lain mengenai sesuatu perkara yang penting
  4. Memberikan = Menyerahkan sesuatu
  5. Melaksanakan = Menjalankan (tugas, rancangan)
  6. Menyenaraikan = Menuliskan dalam bentuk daftar (mengikut bilangan)
  7. Mendengar = Menangkap (bunyi, suara) dengan telinga
  8. Menyampaikan = Memberitahukan, melaporkan
  9. Membidas = Memantul (balik)
  10. Menyatakan = Menjadikan nyata, menerangkan, menjelaskan
  11. Mencetuskan = Menimbulkan sesuatu
  12. Menghuraikan = Membentangkan, menerangkan
  13. Mengemukakan = Mengetengahkan
  14. Menggunakan = Mengambil faedah
  15. Mempertimbangkan = Memikirkan untuk membuat kesimpulan
  16. Mengesan = Meninggalkan atau memberi kesan
  17. Menjelaskan = Menerangkan (lebih lanjut)
  18. Merayu = Menyedapkan hati
  19. Mengambil = Memegang
  20. Mendapatkan = Pergi bertemu atau berjumpa
  21. Mengenal pasti = Mengetahui serta menentukan
  22. Memahami = Tahu dan mengerti benar akan sesuatu
  23. Membaca = Mengucapkan apa yang tertulis atau tercetak pada buku, papan, dll
  24. Meneliti = Memeriksa dengan cermat
  25. Membezakan = Menunjukkan atau menyatakan apa yang berbeza antara beberapa perkara
  26. Menyaring = Membersihkan sesuatu, memilih
  27. Mengolah = Mengerjakan sehingga menjadi sesuatu yang lain
  28. Mentafsirkan = Menerangkan maksud
  29. Menyemak = Mengkaji, meneliti , memeriksa
  30. Menilai = Menentukan nilai, mentaksirkan, menghargai
  31. Menyediakan = Menyiapkan, melengkapkan, mencukupkan
  32. Menentukan = Menetapkan, memastikan
  33. Menceritakan = Mengisahkan sesuatu
  34. Mengulas = Menjadikan berulas, menyambung, melanjutkan, memanjangkan
  35. Menganalisis = Melakukan analisis ke atas sesuatu (bahan, data)
  36. Membandingkan = Melihat perbezaan dan persamaan antara dua benda
  37. Menghasilkan = Mendatangkan, mencipta
  38. Membina = Mewujudkan, membentuk
  39. Menyususun = Mengatur

Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
"Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit = Seseorang yang sabar dalam melakukan sesuatu, akhirnya akan berhasil juga"

Monday, 1 April 2013

21. Ucapan

Kita sering kali mendengar orang memberi ucapan dalam majlis-majlis atau program-program tertentu. Saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang diperoleh dalam buku 'Bahasa Melayu Kontekstual' berkaitan dengan ucapan.
    Ucapan merupakan satu bentuk saluran komunikasi pertuturan dan sejenis karangan berformat yang menggunakan teks bertulis sebagai landasan penyampaiannya. Menurut Sulaiman Masri (2005), ucapan ialah komunikasi sehala yang melibatkan proses pelahiran idea secara lisan yang diujarkan bedasarkan tema atau agenda majlis.
    Noresah Baharom (2002) mentakrifkan ucapan sebagai apa yang diucapkan, perkataan, syarahan, pidato, kata-kata penghargaan ataupun kata-kata yang melahirkan terima kasih. Manakala, Arshad Md Ghaus (2007) pula mendefinisikan ucapan sebagai aktiviti menyampaikan mesej kepada khalayak untuk mencapai matlamat serta melakukan tindakan yang sewajarnya.

Terdapat 4 jenis ucapan :

1. Ucapan Impromptu
  • Disampaikan secara sambil lalu
  • Tanpa menggunakan nota atau alat pandang dengar 
2. Ucapan Manuskrip
  • Membaca bahan yang disediakan 
  • Memastikan kandungan ucapannya tidak disalah tafsir
  • Khalayak menjadi jemu dan bosan
  • Tidak ada hubungan komunikasi antara penyampai dengan khalayak
3. Ucapan Memoriter
  • Disampaikan dalam majlis khas
  • Biasanya ringkas
  • Dapat menumpukan kepada apa yang disampaikan
4. Ucapan Ekstemporanas
  • Disampaikan secara spontan
  • Penyampai sudah bersedia dari sudut mental dan emosi 
  • Disampaikan tanpa melihat nota
  • Penyampai sudah merangka apa yang ingin disampaikan
 (Rujukan : Khairuddin Mohamad (Editor) (2012:211). Bahasa Melayu Kontekstual.)

Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
"Indah khabar dari rupa = Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan"