Thursday, 7 March 2013

4. Ucapan 'terima kasih'

Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat lemah-lembut dan sopan-santun dalam berkomunikasi atau berinteraksi dengan pihak luar. Hal ini menjadikan masyarakat kita dipandang mulia di seantero dunia. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan pujian ini, sebaliknya berusaha untuk mengekalkan keperibadian ini dalam diri generasi akan datang. Maka, masyarakat di negara kita akan terus disanjung oleh negara-negara lain.

          Ucapan 'terima kasih' tidak lekang dari mulut masyarakat apabila mendapat pertolongan. Situasi ini berlaku tidak kira dalam golongan kanak-kanak, belia mahupun orang tua. Apabila kita diasuh dari kecil untuk mengucapkan terima kasih kepada orang lain, maka hal ini akan sebati dengan jiwa kita. Bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Ucapan ini senang dan mudah diucapkan dalam apa juga situasi. 

          Selain itu, kita boleh mengucapkan ucapan 'terima kasih' dalam pelbagai gaya yang tersendiri. Kadang-kadang ucapan ini juga dituturkan untuk menyindir orang lain. Oleh itu, penggunaan ucapan ini bergantung kepada situasi yang berlaku untuk menentukan maksud ucapan tersebut. Sebagai contoh:

1. Shazrein mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana menghantar dia ke sekolah.
    -  "Terima kasih, ibu".

2. Ahmad menyindir Ali yang selalu memandang hina terhadapnya. 
    - "Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya."
 Tuntasnya, ucapan 'terima kasih' acap kali dituturkan dan digunakan oleh masyarakat di negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Hal ini jelas dapat dilihat dalam video dibawah.


Sekadar selingan untuk pembaca :
"Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" - Percakapan seseorang yang kasar dan boleh mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment