Friday 29 March 2013

20. Kata Ganti Nama Diri

Kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Terdapat dua jenis kata ganti nama, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga, iaitu :

1. Kata Ganti Nama Diri Pertama

    Kata yang digunakan untuk menggantikan diri orang yang bercakap. Menurut Arbak Othman (1981:35), kata ganti nama tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya. Perbezaan penggunaan kata ganti nama ini bergantung kepada taraf orang yang bercakap dan orang yang dilawan cakap. 
Contohnya :
  •  Aku = digunakan apabila bercakap dengan kawan biasa atau dengan Tuhan.
  • Saya = digunakan apabila bercakap dengan seseorang yang baru dikenal atau dalam suasana rasmi.
2. Kata Ganti Nama Diri kedua

    Kata yang digunakan ketika kita berbual dengan seorang. Kata ganti nama ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu bentuk tunggal dan bentuk jamak.
Contohnya:
  • Awak = digunakan untuk diri orang kedua yang rapat hubungannya dengan kita.
  • Kalian = digunakan untuk beberapa orang yang diajak bercakap.
3. Kata Ganti Nama Diri Ketiga

    Menurut Arbak Othman (1981:37), kata ganti nama diri ketiga adalah perkataan-perkataan yang dipakai bagi menggantikan orang yang dicakapkan yakni orang ketiga. 
Contohnya:
  • Beliau = digunakan untuk orang yang kita hormati, misalnya ibu bapa, guru, dan pemimpin.
  • Mereka = digunakan untuk orang yang bilangannya lebih daripada seorang. 
(Rujukan : Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra'in Shaari (2009:262-264). Semantik dan Pragmatik Bahasa melayu) 
Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
 " Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" - Dua orang atau pihak yang sama taraf atau darjat dalam adat.

Thursday 28 March 2013

19. Berita

Setiap hari kita menonton televisyen dan membaca berita yang ditulis sama ada dalam internet atau surat khabar. Tajuk berita yang ditulis mampu menarik minat kita untuk membaca berita tersebut. Ayat-ayat yang digunakan dalam penulisan berita pula ringkas dan padat mengikut urutan cerita. 

   Berita bersifat perkhabaran, laporan atau pemberitahuan laporan tentang khabar, acara-acara atau kejadian-kejadian, diterima atau disalurkan daripada sesuatu sebagai maklumat terkini, peristiwa terbaru sebagai perkara utama bagi laporan atau percakapan. 

     Laporan berita tidak mementingkan ungkapan atau konsep khusus menuntut ilmu. Tujuannya adalah untuk menyebarkan berita seluas-luasnya, mempunyai ruang yang terhad, waktu terbatas, mempunyai gaya bahasa sendiri dan ciri-ciri tertentu.

Format penulisan berita :
  1. Pengenalan
  2. Tubuh / isi
  3. Penutup  
Prinsip penulisan berita adalah berdasarkan 5W + 1H :
  1. What (apa) = apa yang berlaku?
  2. Where (di mana) = di mana berlaku?
  3. When (bila) = bila berlaku?
  4. Who (siapa) = siapa terlibat?
  5. Why (kenapa) = kenapa berlaku?
  6. How (bagaimana) = bagaimana berlaku?
(Rujukan : Khairuddin Mohamad (Editor) (2012:149/179). Bahasa Melayu Kontekstual.)
Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
"Manis jangan terus ditelan, pahit jangan terus dibuang" - Apabila melihat sesuatu yang baik jangan cepat diterima dan apabila melihat sesuatu yang buruk jangan cepat ditolak.

Wednesday 27 March 2013

18. Antonim


Pagi tadi, saya dan beberapa orang rakan berbual-bual tentang tajuk atau isu yang sesuai untuk mengajar pelajar sekolah menengah. Kami perlu menyediakan rancangan pengajaran harian untuk persediaan latihan pengajaran makro di sekolah nanti. Oleh itu, saya bercadang untuk mengajar berkaitan dengan antonim dan ingin berkongsi maklumat tersebut dalam blog ini. 
  
     Antonim berasal daripada perkataan bahasa Yunani kuno, iaitu 'anoma' yang bermaksud 'nama' dan 'anti' bermaksud 'melawan' (Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2004:263). Dalam semantik, antonim didefinisikan sebagai 'berlawanan' atau kata-kata berlawanan makna. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:69) pula, antonim bererti kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain. 

Contoh perkataan antonim :
  1. besar = kecil
  2. teruna = dara
  3. masam = manis
  4. gemuk = kurus
  5. jantan = betina
Contoh ayat yang membawa makna berantonim :
  1. Meskipun dia miskin, tetapi dia tetap kaya budi bahasa.
  2. Mereka tetap saling mengingati walaupun bertahun-tahun terpisah, bak kata pujangga jauh dimata dekat di hati.  
(Rujukan : Abdullah Yusof dan Alias Mohd Shaari (2009:88-89). Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu)
Sekadar selingan untuk rakan-rakan dan pembaca:
"Baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang" - Semakin tinggi ilmu atau pangkat seseorang, semakin merendah diri atau tidak sombong orang tersebut.

Tuesday 26 March 2013

17. Persediaan Minda untuk Menulis

Saya dan rakan-rakan akan menjalankan latihan praktikum pada semester akan datang. Banyak persediaan yang kami perlu lakukan untuk memantapkan diri sebelum menjadi guru pelatih. Saya ingin berkongsi sedikit ilmu berkaitan dengan aspek penulisan. Penggunaan bahasa yang betul dan tepat memainkan peranan penting dalam aspek ini. 
Perkara yang perlu kita perhatikan dalam keseluruhan proses menulis:
  1. Memahami kehendak tajuk atau soalan.
  2. Memastikan adanya pokok persoalan karangan yang jelas.
  3. Memastikan jenis karangan yang hendak ditulis.
  4. Menentukan arah pembentangan, sikap, dan pendirian menyeluruh tentang tajuk, isu atau soalan.
Kemudian proses menulis diteruskan. Pada saat ini, kita perlu lebih giat berfikir untuk:
  1. Melakarkan kerangka karangan dan perenggan.
  2. Mencatat idea-idea pokok atau isi-isi penting sebagai sokongan.
  3. Menentukan beberapa pola berfikir dalam pengolahan perenggan.
  4. Memilih kata, frasa dan ayat yang sesuai untuk melahirkan pandangan dan fikiran.
  5. Menyusun dan menulis perenggan secukupnya.
  6. Meneliti dan menyunting karangka.
    Akhirnya, dengan coretan kerangka yang terpapar pada kertas, kita akan lebih mudah melihat pemecahan tajuk dan meletakkannya dalam konteks yang lebih konkrit. Asas menulis karangan yang baik dan berkesan terletak pada:
    1. Kefahaman tentang kehendak soalan dan tajuk.
    2. Pengetahuan tentang tajuk dan isu pokok.
    3. Pengetahuan tentang teknik penulisan, terutamanya pembinaan perenggan yang padu.
    4. Pengetahuan bahasa, terutamanya penguasaan kosa kata dan tatabahasa. 
    (Rujukan : Murshidi Harun @ Zakaria, Tan Hock Thye dan Yahya Che Lah (2009:15). Sarana Bahasa Malaysia Universiti : Pemantapan Karangan)

    Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
    "Memerah otak" - Orang yang berfikir dengan bersungguh-sungguh. 

    Monday 25 March 2013

    16. Bahan Bantu Mengajar

    Tadi, saya dan dua orang rakan telah menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) untuk dibentangkan dalam kelas. Tetapi, perbentangan tidak dapat dilakukan kerana kekangan masa. Saya ingin berkongsi sedikit maklumat tentang bahan bantu mengajar yang boleh digunakan dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Penulisan RPH menggunakan bahasa baku. Ayat yang digunakan ringkas, tepat dan padat. 

         Bahan bantu mengajar (BBM) digunakan oleh guru untuk menyampaikan isi pelajaran secara berkesan, iaitu mudah diingati dan difahami oleh murid. Penggunaannnya dalam proses P&P dapat menarik perhatian murid, selain meningkatkan minat mereka untuk mengikuti pelajaran. 

    Kepentingan BBM:
    1. Murid dapat mengikuti pengajaran dengan penuh minat.
    2. Murid dapat memberikan fokus kepada perkara yang diajar.
    3. Murid dapat melihat struktur asas sesuatu konsep dengan jelas.
    4. Murid dapat menvisualisasikan konsep atau gagasan yang abstrak.
    5. Murid dapat menyusun serta menggabungkan segala aspek yang dipelajari secara global, misalnya menerusi peta konsep.
    Ciri-ciri BBM:
    1. Sesuai dengan tajuk atau topik.
    2. Berkaitan dengan objektif pengajaran.
    3. Selaras dengan kebolehan murid.
    4. Menarik.
    5. Dipelbagaikan untuk kesesuaian dengan perbezaan murid.
    6. Tersusun, kemas dan tepat.
    7. Mudah, iaitu tidak terlalu rencam atau mengelirukan.
    8. Tulisan dan saiznya jelas serta sesuai.
    (Rujukan : Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012:283-284). Kaedah Pendidikan Guru)

    Sekadar selingan untu pembaca dan rakan-rakan :
    "Terang hati" - Seseorang yang mudah atau senang mendapat sesuatu yang diajarkan kepadanya.

    Friday 22 March 2013

    15. Maksud peribahasa

    Hari ini saya ingin berkongsi maksud peribahasa yang diajar dalam Kursus Puisi Melayu petang tadi. Kursus ini disampaikan oleh Dr. Bazrul Bahaman. Coretan ini sekadar perkongsian untuk pembelajaran bersama.

         Menurut Za’ba (2009), peribahasa ialah susunan cakap yang pendek, yang telah melekat di mulut orang ramai sejak zaman-berzaman. Hal ini kerana, ungkapan-ungkapan ini sedap didengar serta dalam maknanya, digunakan oleh orang sebagai perbandingan, teladan dan bahan pengajaran. Peribahasa merupakan sebahagian daripada khazanah sastera orang Melayu yang tergolong dalam sastera lisan. Sebagai sebahagian daripada sastera rakyat, peribahasa tidak diketahui penciptanya, kerana dalam masyarakat lampau individu tidak dipentingkan dan sesebuah karya menjadi hak milik kekal masyarakat itu sendiri. 

        Selain itu, Za’ba (2009) juga berpendapat bahawa penerbitan ungkapan sesuatu peribahasa adalah asalnya dari individu atau sekumpulan manusia. Bentuknya ringkas, tepat dengan maksud yang hendak dicapai dan mengandungi kebenaran, terbit daripada pengalaman sendiri atau yang telah diperhatikan berlaku pada orang lain. Kemudian, apabila bentuk itu digemari orang lain, mereka pula menggunakannya berulang-ulang dan tersebar kepada orang lain. Akhirnya, peribahasa menjadi terkenal dan diwarisi secara turun-temurun. Contoh peribahasa Melayu adalah seperti berikut:
    1.   Bidalan
    2. Pepatah
    3. Perbilangan
    4. Perumpamaan
    5. Simpulan bahasa
    6. Kiasan
    7. Kata hikmat
         Peribahasa atau ungkapan tradisional yang mempunyai subgenre seperti bidalan, pepatah, perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil tidak tergolong dalam genre puisi kerana strukturnya bukan merupakan ungkapan atau kata-kata yang berangkap. Namun, dalam pustaka puisi Melayu tradisional terdapat sejumlah besar peribahasa yang wujud dalam bentuk puisi. Oleh itu, Za’ba (1966), Mohd. Taib Osman (1979) menamakan puisi ini sebagai peribahasa berangkap atau peribahasa berirama.

    Contoh buku peribahasa:


    Thursday 21 March 2013

    14. Teknik permainan bahasa


    Saya dan dua orang rakan lagi merancang untuk memilih tajuk 'Teknik Permainan Bahasa' sebagai tugasan untuk kursus Projek Tahun Akhir nanti. Teknik ini akan digunakan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa murid, terutamanya dalam kemahiran lisan. Kemahiran ini merangkumi dua kemahiran bahasa iaitu bertutur dan mendengar.

         Permainan bahasa merupakan salah satu teknik pengajaran untuk mempelajari bahasa melalui permainan. Penglibatan dalam permainan, khususnya secara interaktif berupaya memberikan ruang dan peluang kepada murid untuk memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat diagnostik (Anglin, 2000). Permainan bahasa mempunyai hala tuju yang bertepatan dengan kemahuan dalam sistem pendidikan negara amnya dan Falsafah Pendidikan Negara khususnya, selain sejajar dengan trend inovasi. Hala tuju ini diinterpretasikan melalui objektif tersirat yang terkandung dalam sesuatu permainan bahasa, iaitu :
    1. Merangsang interaksi verbal murid
    2. Menambahkan kefasihan dan keyakinan
    3. Menyediakan konteks pembelajaran yang luas dan terbuka
    4. Bertindak sebagai alat yang dapat mengikis kebosanan
    5. Bertindak sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan
         Permaian bahasa mamapu mewujudkan konteks pembelajaran dan perkembangan masa berfikir murid. Oleh otu, guru perlu membuat penelitian terhadap struktur dan isi kurikulum untuk membangunkan kerangka pedagogi permainan. Struktur kurikulum hendaklah mempunyai :
    1. Perancangan yang mencakupi penetapan sasaran dan tujuan
    2. Pengorganisasian dari segi pertimbangan ruang, sumber dan waktu
    3. Pelaksanaan yang mencakupi aktiviti perancangan pembelajaran penilaian yang meliputi imbasan perancangan 
    (Rujukan : Adenan Ayod dan Khairuddin Mohamad (2012). Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu.)

    Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
    "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang" - Sesuatu benda tidak datang sendiri tanpa kita berusaha mendapatkannya.

    Wednesday 20 March 2013

    13. Bahasa Rojak


    Saya ingin berkongsi sedikit maklumat yang saya baca berkaitan dengan 'bahasa rojak' yang ditulis dalam buku "Bahasa di Jajaran Masa : Isu dan Tanggapan" oleh Lim Swee Tin. Beliau membincangkan tajuk "Bahasa Rojak : Pilihan Pengguna, Dilema Bahasawan. Apakah Penyelesaiannya?" (2011:32-37) dalam buku tersebut. 

         Masyarakat telah dikejutkan dengan satu ledakan akan kebimbangan yang kian melular berkaitan dengan penggunaan bahasa rojak ini. Utusan Malaysia, 10 Julai 2003 misalnya melaporkan kekhuatiran seorang tokoh masyarakat yang disegani Tan Sri Lee Lam Thye apabila mendapati semakin meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia yang gemar menggunakan bahasa rojak. 

        Menurut definisi yang diberikan oleh Lee Lam Thye, bahasa rojak ialah percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam pertuturan sehari-hari. Bahasa rojak merupakan bahasa campur aduk yang digunakan dalam kalangan tertentu dalam masyarakat kita. Bahasa campur aduk ini bercelaru bentuknya dan digunakan secara sewenang-wenangnya tanpa mengikut peraturan atau sistem yang tertentu.

    Faktor kemunculan bahasa rojak:
    1. Mencuba kelainan
    2. Ikut-ikutan
    3. Disengajakan kerana penolakan kepada kerasmian 
    4. 'Jahil' bahasa
    5. Rasa rendah diri
    6. Pengaruh media penyiaran dan hiburan
    7. Penerbitan majalah
    8. Anjakan konteks
    9. Lunturnya patriotisme bahasa
    Implikasi :
    1. Hilang rasa hormat
    2. Timbul tanggapan bahasa Melayu tidak mampu berfungsi 
    3. Hakis kedudukan dan kedaulatan bahasa Melayu
    4. Gagal berfungsi sebagai bahasa ilmu dan kesenian
    5. Rencatkan usaha pertingkatkan status bahasa Melayu sebagai bahasa dunia
    6. Melemahkan kedudukan bahasa Melayu
    Langkah mengatasi :
    1.  Tindakan bersepadu
    2. Pupuk kesedaran menyeluruh 
    3. Semai kesedaran supaya ada perubahan sikap
    4. Kawal penerbitan, penyiaran dan kawal penggunaan dalam filem dan lirik lagu
    5. Kempen berterusan
    6. Bina korpus bahasa Melayu yang lengkap dan sempurna
    7. Perkasakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dalam pendidikan
    8. Hukuman keras

    Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
    "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung" - Mengikut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

    Tuesday 19 March 2013

    12. Jangan bersikap tamak


    Sebagai seorang manusia biasa, kita mestilah bijak mengawal diri supaya tidak melakukan perkara-perkara yang salah atau kurang sopan. Sikap negatif yang perlu kita hindari ketika berbelanja adalah tamak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1583), tamak bermaksud ingin memiliki sesuatu tanpa batasan. Sikap ini wujud apabila kita ingin mempunyai sesuatu lebih daripada orang lain sama ada kita mampu atau tidak. 

         Apabila saya pergi ke pasar malam, sikap ini pasti akan berlaku. Namun, sejak akhir-akhir ini, saya berjaya mengawalnya. Peniaga pasar malam akan menjual makanan dan minuman serta baranag-barang lain yang mampu menarik minat kita untuk membeli. Mereka akan melaung-laungkan apa yang mereka jual untuk menarik perhatian pembeli. Jeritan suara mereka mampu membuat kita terpengaruh dan membeli barang tersebut. Kadang-kadang kita berbelanja melebihi apa yang diperlukan. 

         Jika membeli barang yang lambat rosak, kita boleh menyimpannya dalam jangka masa yang lama. Sebaliknya, apabila membeli makanan atau minuman, kita perlu segera menghabiskannya kerana tidak boleh tahan lama. Jika kita membelinya dalam kuantiti yang banyak, agak mustahil untuk menghabiskan makanan tersebut seorang diri. Di sini berlakulah pembaziran kerana sikap tamak kita tadi.

    Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
    "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" - Seseorang yang bernasib malang apabila memperoleh sesuatu, tetapi yang ada padanya hilang pula.

    Monday 18 March 2013

    11. 'Tak kenal, maka tak cinta'

    Saat yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar semester 6 adalah mencari sekolah untuk latihan mengajar pada semester 7 nanti. Kami diberi senarai nama sekolah mengikut daerah dan negeri-negeri tertentu. Oleh itu, kami perlu memilih nama sekolah yang dikehendaki secara berpasangan. Nasib saya dan rakan-rakan baik kerana kami sekolah yang kami pilih menawarkan 4 tempat kosong untuk guru praktikal.

         Semalam, saya dan rakan-rakan pergi ke sekolah yang telah dipilih untuk melihat sendiri keadaan sekolah tersebut. Kami mendapat banyak maklumat tentang sekolah dan masyarakat di sana apabila kakitangan sekolah tersebut sudi untuk berkongsi maklumat dengan kami. Pelbagai soalan yang diajukan dan semuanya dijawab dengan baik menggunakan bahasa yang mudah difaham dalam dialek utara. Sikap peramah dan berbudi bahasa kakitangan tersebut sangat kami kagumi. Beliau tidak sombong walaupun kami datang pada hari cuti dan tidak membuat temu janji terlebih dahulu. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam berinteraksi untuk memberi maklumat kepada orang lain.

          Keadaan persekitaran sekolah yang tenang dan aman membuatkan hati kami terpaut. Walaupun sekolah di kawasan luar bandar, hal ini tidak memberi impak yang negatif kepada kami. Sudah menjadi lumrah, setiap tempat pasti ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Namun, kekurangan ini dapat tertutup dengan sikap kakitangan dan keadaan persekitaran sekolah tersebut. Kami hanya datang untuk melihat keadaan sekolah dan mencari kawasan tempat tinggal untuk praktikal nanati. Kedatangan kami telah disambut baik oleh masyarakat di sana. 

    Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
    "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai" - Kalau kita takut untuk menghadapai kesusahan dan penderitaan, lebih baik jangan melakukan perkara tersebut.

    Friday 15 March 2013

    10. Sikap tolak ansur dan saling menghormati


    Dalam kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada secara sedar ataupun tidak. Sikap tolak ansur dan saling menghormati mampu untuk mengelakkan diri kita daripada melakukan kesalahan ini secara berterusan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), tolak ansur bermaksud saling memberi dan menerima. Sikap ini lahir dalam diri setiap individu untuk mengawal diri dan tingkah laku masing-masing. Kita tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain, keluarga, masyarakat dan negara. 

             Tadi, saya dan rakan-rakan telah menghadiri satu taklimat khas berkaitan dengan persediaan latihan mengajar. Kami perlu memilih sekolah untuk membuat praktikal pada pertengahan bulan Julai nanti. Senarai nama semua sekolah telah disediakan oleh pihak universiti. Oleh itu, kami hanya perlu mencari pasangan dan memilih sebuah sekolah yang disukai berdasarkan senarai nama sekolah yang diberi. Arahan ini senang didengar, tetapi sukar untuk dilaksanakan.

              Apabila berlaku persamaan dalam pemilihan nama sekolah, pelajar-pelajar yang terlibat diminta untuk berbincang dan mendapat kata sepakat untuk memilih sekolah yang berbeza. Mereka perlu bertolak ansur dan menghormati keputusan antara satu sama lain. Keputusan yang dibuat mestilah mendapat persetujuan antara kedua-dua belah pihak. Mereka telah menggunakan bahasa yang lembut dan sopan supaya keputusan yang dibuat dalam perbincangan tidak menyinggung perasaan kedua-dua belah pihak. Oleh itu, jelas kita dapat lihat bahawa sikap tolah ansur ini penting untuk membuat keputusan yang adil dan saksama.

    Laman sesawang yang membuktikan kepentingan sikap tolak ansur dan saling menghormati :

    Sekadar selingan untuk rakan-rakan dan pembaca :
    "Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" - Kata sepakat yang diperoleh dalam sesuatu perbincangan.

    Thursday 14 March 2013

    9. Pencemaran bahasa

    Pencemaran bahasa merupakan fenomena yang sudah lama berlaku dan sukar untuk dibendung. Seperti yang kita tahu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Malangnya, terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak sedar akan masalah ini. Mereka sewenang-wenangnya melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam penggunaan bahasa Melayu. Selalunya, situasi ini berlaku secara spontan tanpa kita sedari. 


    Punca-punca berlakunya pencemaran bahasa:
    1. Kurang pengetahuan dan pelajaran bahasa Melayu.
    2. Tidak mengambil berat terhadap bahasa Melayu sehingga kesalahan yang diketahui tidak diperdulikan.
    3. Tidak berusaha memperbaiki penguasaan bahasa Melayu.
    4. Menggunakan bahasa Melayu sesuka hati tanpa merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atau pakar-pakar bahasa.
    5. Ketinggalan kepada perkembangan dan perubahan sistem bahasa Melayu seperti ejaan dan istilah baru.
    6. Masih menggunakan bahasa Melayu lama atau menterjemah daripada bahasa Inggeris.
    7. Sikap kurang tegas ketua-ketua jabatan dalam usaha meninggikan taraf penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan jabatan.
    8. Sikap anti bahasa Melayu.
    Langkah-langkah membendung pencemaran bahasa:
    1. Kempen-kempen kesedaran.
    2. Kursus-kursus bahasa Melayu.
    3. Menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan pelajar.
    4. Mewajibkan pelajar dan guru menggunakan bahasa baku dalam lisan dan tulisan.
    (Rujukan: Kamarudin Haji Husin dan Siti Hajar Haji Abdul Aziz (1997). Pengajian Melayu 3 : Kominikasi Bahasa)

     

    Sekadar selingan untuk pembaca :  'Bahasa Jiwa Bangsa'.


    Wednesday 13 March 2013

    8. Puisi Melayu - Mantera

    Setiap hari rabu dan jumaat, saya akan belajar kursus 'Puisi Melayu' dengan pensyarah, Dr. Bazrul Bahaman. Pada hari ini, beliau mengajar berkaitan dengan tajuk 'mantera'. Saya ingin berkongsi sedikit ilmu berdasarkan nota yang diberi oleh pensyarah dengan rakan-rakan dan pembaca blog ini. 

         Mantera telah wujud sebagai wahana penyampai sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada elemen-elemen magis. Istilah mentera berasal daripada kata mantra, mantr atau matar dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan. Menurut Harun Mat Piah (2000), mantera adalah jenis-jenis pengucapan yang mengandungi tujuan magis, pengubatan dan perbomohan. Mantera sama dengan jampi serapah, tawar, sembur, cuca, puja, seru dan takal.

         Mantera tergolong dalam kelompok puisi kerana pengucapannya menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat dan puitis. Mantera merupakan sejenis puisi Melayu tradisional yang berbentuk bebas kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap. Rima akhirnya pula tidak tetap. 

         Selain itu, mantera melibatkan unsur-unsur pemujaan dan pengucapan yang mengandungi konotasi magis. Pawang atau bomoh adalah tokoh-tokoh penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan irama, nada dan tekanan suara yang tertentu, sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati. Amalan ini bertentangan dan berbeza dengan jampi yang mengandungi doa berasaskan ayat-ayat suci al-Quran.



    Sekadar selingan untuk pembaca :
    "Beradu nasib" - Mencuba membuat dan mendapatkan sesuatu dengan harapan akan beroleh kejayaan.

    Tuesday 12 March 2013

    7. Membaca jambatan ilmu

    Sebagai seorang insan yang bergelar mahasiswa, kita tidak boleh lari daripada aktiviti membaca. Membaca adalah satu aktiviti pentafsiran dan menterjemahkan lambang-lambang bercorak kepada bunyi-bunyi yang dimaksudkan (Charles C. Frie, 1963). Selain itu, Atan Long (1978) mendefinisikan membaca sebagai satu proses yang melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi suara (bahasa) dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu. 

               Kemahiran membaca merupakan lanjutan daripada kemahiran bahasa yang lain seperti kemahiran bertutur dan mendengar. Membaca juga dianggap sebagai satu proses yang kompleks dan menggabungkan beberapa proses seperti proses sensori (pandang), proses pengamatan, proses linguistik dan proses mental. aktiviti ini melibatkan deria penglihatan dan alat-alat artikulasi, khususya sebagai gabungan aktiviti verbal dan literasi secara serentak. 

    Terdapat 5 peringkat dalam proses membaca :

    1. Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
    2. Mengaitkan lambang atau perkataan dengan bunyi dan makna.
    3. Menterjemah makna perkataan dan mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada. 
    4. Mengumpul dan mencantum idea, perkataan dan ayat menjadi suatu idea yang lengkap.
    5. Cuba menghuraikan atau menjelaskan idea yang didapati kepada diri sendiri atau orang lain.

    (Rujukan : Khairuddin Mohamad (2011). Literasi bahasa Melayu.)  
     
    Sekadar selingan untuk pembaca :
    "Membaca jambatan ilmu" - Melalui aktiviti membaca, seseorang itu dapat menambah ilmu pengetahuannya.

    Monday 11 March 2013

    6. Kenangan terindah




    Semalam merupakan hari yang memberi kenangan terindah buat saya dan rakan-rakan. Kami telah menyertai program baktisiswa yang dianjurkan oleh pihak universiti. Program ini berlangsung sehari, namun memberi seribu pengertian buat kami. Walaupun pada mulanya keinginan untuk menyertai program ini berkurangan akibat kelewatan bas selama 2 jam, akhirnya terbalas dengan kenangan yang kami peroleh di sana.

        Kami dijadualkan bertolak dari Tanjung Malim pada pukul 6.30 pagi, tetapi berlaku masalah yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, bas kami bergarak pada pukul 8.30 pagi. Destinasi yang ingin dituju ialah Sekolah Agama Padang Serai di daerah Manjung, Perak. Tujuan program ini diadakan untuk menolong mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, situasi sebanar banjir ketika itu tidak dapat dirasakan kerana sudah hampir dua minggu kejadian banjir berlaku. Namun, kesan-kesan banjir masih ada.

         Hasil daripada program ini, saya memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Walaupun dalam masa yang singkat, saya dan rakan-rakan dapat mengenali dan menolong penduduk kampung yang memerlukan bantuan di kawasan tersebut. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk memudahkan urusan gotong-royong membersihkan rumah dan kawasan sekitarnya.


        Selain itu, jelas tergambar kegembiraan di sebalik raut wajah penduduk-penduduk kampung dengan ketibaan kami di sana. Serba sedikit masalah dan bebanan mereka dapat diatasi dan dikurangkan. Sikap ramah dan cepat mesra dengan orang luar membuatkan hubungan antara kami cepat terjalin. Mereka menggunakan dialek utara ketika bertutur. Hal ini memberi kelebihan kepada saya kerana saya juga berasal dari utara. Faktor ini memberi peluang untuk saya lebih mudah berinteraksi dengan mereka. Semoga hubungan yang terjalin ini berterusan dan tidak putus di tengah jalan sahaja. Amin.


    Sekadar selingan untuk pembaca :
    "Bagai aur dengan tebing" - Hubungan yang rapat antara satu sama lain dan saling membantu.

    Friday 8 March 2013

    5. Pentingnya 'nama'

    Setiap individu pasti mempunyai nama tersendiri yang diberikan oleh ibu bapa masing-masing. Kini, nama anak-anak kian panjang dan sukar untuk disebut. Walau bagaimanapun, diharap nama-nama tersebut mempunyai maksud yang baik dan sesuai dengan anak-anak mereka. Secara umumnya, nama dapat didefinisikan sebagai panggilan atau sebutan bagi orang yang (barang, tempat, pertubuhan dan lain-lain). Setiap sesuatu yang dicipta disusuli dengan nama-nama tertentu. 

                 Sudah menjadi kebiasaan masyarakat di negara kita memanggil seseorang individu dengan panggilan kehormat seperti Tuan, Puan, Dr., Profesor dan sebagainya. Selain itu, panggilan ini juga digunakan dalam keluarga. Contohnya, pak cik, along, abang, adik dan lain-lain lagi. Penggunaan panggilan ini mengikut susunan atau kedudukan seseorang di dalam keluarganya. Terdapat juga keluarga yang hanya memanggil nama sahaja.

             Di samping itu, sesetengah ibu bapa memanggil anak-anak mereka dengan panggilan yang berbeza dengan panggilan yang biasa digunakan. Hal ini kadangkala mendatangkan keburukan kepada anak-anak. Sejak kecil anak dipanggil dengan nama lain dari namanya sendiri. Mereka seakan sudah sebati dengan nama tersebut dan kekok apabila menggunakan nama sebenar. Gambar di bawah jelas menunjukkan kekeliruan yang dialami oleh pelajar apabila nama panggilan dan nama sebenarnya berbeza.

           Terdapat juga panggilan-panggilan yang unik tetapi sudah menjadi kebiasaan terutamanya dalam golongan remaja. Panggilan yang acap kali digunakan oleh sahabat-sahabat saya ialah 'yunk'. Panggilan ini digunakan untuk memanggil orang lain bagi menggantikan kata nama awak, kamu, anda dan sebagainya. Apabila menggunakan panggilan ini, hubungan persahabatan sesama rakan-rakan dilihat lebih akrab. Selain itu, dalam kalangan remaja lelaki penggunaan panggilan seperti 'bai' dan 'bro' pulas digunakan. Tuntasnya, panggilan ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman dan teknologi.

    Sekadar selingan untuk pembaca :
    "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama" - Seorang yang telah meninggal dunia tetapi kelakuannya masih diingati.

    Thursday 7 March 2013

    4. Ucapan 'terima kasih'

    Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat lemah-lembut dan sopan-santun dalam berkomunikasi atau berinteraksi dengan pihak luar. Hal ini menjadikan masyarakat kita dipandang mulia di seantero dunia. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan pujian ini, sebaliknya berusaha untuk mengekalkan keperibadian ini dalam diri generasi akan datang. Maka, masyarakat di negara kita akan terus disanjung oleh negara-negara lain.

              Ucapan 'terima kasih' tidak lekang dari mulut masyarakat apabila mendapat pertolongan. Situasi ini berlaku tidak kira dalam golongan kanak-kanak, belia mahupun orang tua. Apabila kita diasuh dari kecil untuk mengucapkan terima kasih kepada orang lain, maka hal ini akan sebati dengan jiwa kita. Bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Ucapan ini senang dan mudah diucapkan dalam apa juga situasi. 

              Selain itu, kita boleh mengucapkan ucapan 'terima kasih' dalam pelbagai gaya yang tersendiri. Kadang-kadang ucapan ini juga dituturkan untuk menyindir orang lain. Oleh itu, penggunaan ucapan ini bergantung kepada situasi yang berlaku untuk menentukan maksud ucapan tersebut. Sebagai contoh:

    1. Shazrein mengucapkan terima kasih kepada ibunya kerana menghantar dia ke sekolah.
        -  "Terima kasih, ibu".

    2. Ahmad menyindir Ali yang selalu memandang hina terhadapnya. 
        - "Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya."
     Tuntasnya, ucapan 'terima kasih' acap kali dituturkan dan digunakan oleh masyarakat di negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Hal ini jelas dapat dilihat dalam video dibawah.


    Sekadar selingan untuk pembaca :
    "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa" - Percakapan seseorang yang kasar dan boleh mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

    Wednesday 6 March 2013

    3. Makna di sebalik 'papan tanda'


    Sikap masyarakat di negara kita mungkin seperti dalam video di atas atau sebaliknya. Namun, sebagai pencinta alam, kita seharusnya lebih peka terhadap papan tanda yang ditunjukkan. Apabila kita tidak mementingkan kebersihan, maka kesihatan kita akan terjejas. Menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Walaupun papan tanda tidak dapat berkata-kata, namun perkataan yang ditulis di atas papan tanda tersebut mampu memberi kesedaran atau panduan kepada kita.

             'Papan tanda' memberikan makna yang tertentu di sebalik kata-kata yang ditulis. Bahasa yang digunakan ringkas, padat dan tepat. Terdapat papan tanda yang diletakkan di jalan raya, sekolah, hospital dan tempat-tempat tertentu. Kesemua papan tanda ini dijadikan panduan atau petunjuk kepada kita untuk mendapat maklumat tentang sesuatu perkara. 


              Saya lihat banyak papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan dari Tanjung Malim ke Proton City. Walaupun papan tanda ini hanya sebagai simbol tetapi kita faham akan makna di sebalik simbol tersebut. Contohnya, terdapat beberapa jenis papan tanda yang diletakkan di jalan raya seperti : 

    1. Papan tanda destinasi - Untuk memberi isyarat awal / masa yang mencukupi kepada pemandu untuk masuk ke laluan bersesuaian sebelum tiba di jalan keluar atau persimpangan.
    2. Papan tanda arah - Diletakkan di antara 100 hingga 150 M sebelum tiba persimpangan utama atau sebelum persimpangan menuju ke jalan utama.
    3. Papan tanda jarak - Diletakkan selepas sesuatu persimpangan.
    4. Papan tanda keterangan -  Memberitahu pemandu / pengguna jalan raya sesuatu tempat, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan dan lain-lain.
    5. Papan tanda nombor laluan jalan - Dipasang di semua papan tanda jarak dan tiang KM di sepanjang jalan.
    6. Papan tanda seksyen - Dipasang untuk rujukan lokasi di sepanjang lebuhraya. Dipasang pada setiap 100 M di sepanjang lebuhraya              
             Jelas dapat kita simpulkan bahawa, papan tanda memberi makna yang tertentu walaupun hanya menggunakan satu perkataan sahaja. Kita sebagai pengguna atau masyarakat yang prihatin perlu peka terhadap papan tanda yang diletakkan tersebut. Kegagalan kita mematuhi arahan yang terdapat pada papan tanda akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. 

    Sekadar selingan untuk pembaca :
       "Malang tidak berbau" - Kecelakaan yang berlaku secara tiba-tiba.