Monday 11 March 2013

6. Kenangan terindah




Semalam merupakan hari yang memberi kenangan terindah buat saya dan rakan-rakan. Kami telah menyertai program baktisiswa yang dianjurkan oleh pihak universiti. Program ini berlangsung sehari, namun memberi seribu pengertian buat kami. Walaupun pada mulanya keinginan untuk menyertai program ini berkurangan akibat kelewatan bas selama 2 jam, akhirnya terbalas dengan kenangan yang kami peroleh di sana.

    Kami dijadualkan bertolak dari Tanjung Malim pada pukul 6.30 pagi, tetapi berlaku masalah yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, bas kami bergarak pada pukul 8.30 pagi. Destinasi yang ingin dituju ialah Sekolah Agama Padang Serai di daerah Manjung, Perak. Tujuan program ini diadakan untuk menolong mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, situasi sebanar banjir ketika itu tidak dapat dirasakan kerana sudah hampir dua minggu kejadian banjir berlaku. Namun, kesan-kesan banjir masih ada.

     Hasil daripada program ini, saya memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Walaupun dalam masa yang singkat, saya dan rakan-rakan dapat mengenali dan menolong penduduk kampung yang memerlukan bantuan di kawasan tersebut. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk memudahkan urusan gotong-royong membersihkan rumah dan kawasan sekitarnya.


    Selain itu, jelas tergambar kegembiraan di sebalik raut wajah penduduk-penduduk kampung dengan ketibaan kami di sana. Serba sedikit masalah dan bebanan mereka dapat diatasi dan dikurangkan. Sikap ramah dan cepat mesra dengan orang luar membuatkan hubungan antara kami cepat terjalin. Mereka menggunakan dialek utara ketika bertutur. Hal ini memberi kelebihan kepada saya kerana saya juga berasal dari utara. Faktor ini memberi peluang untuk saya lebih mudah berinteraksi dengan mereka. Semoga hubungan yang terjalin ini berterusan dan tidak putus di tengah jalan sahaja. Amin.


Sekadar selingan untuk pembaca :
"Bagai aur dengan tebing" - Hubungan yang rapat antara satu sama lain dan saling membantu.

No comments:

Post a Comment