Wednesday 13 March 2013

8. Puisi Melayu - Mantera

Setiap hari rabu dan jumaat, saya akan belajar kursus 'Puisi Melayu' dengan pensyarah, Dr. Bazrul Bahaman. Pada hari ini, beliau mengajar berkaitan dengan tajuk 'mantera'. Saya ingin berkongsi sedikit ilmu berdasarkan nota yang diberi oleh pensyarah dengan rakan-rakan dan pembaca blog ini. 

     Mantera telah wujud sebagai wahana penyampai sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada elemen-elemen magis. Istilah mentera berasal daripada kata mantra, mantr atau matar dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan. Menurut Harun Mat Piah (2000), mantera adalah jenis-jenis pengucapan yang mengandungi tujuan magis, pengubatan dan perbomohan. Mantera sama dengan jampi serapah, tawar, sembur, cuca, puja, seru dan takal.

     Mantera tergolong dalam kelompok puisi kerana pengucapannya menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat dan puitis. Mantera merupakan sejenis puisi Melayu tradisional yang berbentuk bebas kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap. Rima akhirnya pula tidak tetap. 

     Selain itu, mantera melibatkan unsur-unsur pemujaan dan pengucapan yang mengandungi konotasi magis. Pawang atau bomoh adalah tokoh-tokoh penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan irama, nada dan tekanan suara yang tertentu, sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati. Amalan ini bertentangan dan berbeza dengan jampi yang mengandungi doa berasaskan ayat-ayat suci al-Quran.



Sekadar selingan untuk pembaca :
"Beradu nasib" - Mencuba membuat dan mendapatkan sesuatu dengan harapan akan beroleh kejayaan.

No comments:

Post a Comment