Friday 29 March 2013

20. Kata Ganti Nama Diri

Kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Terdapat dua jenis kata ganti nama, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga, iaitu :

1. Kata Ganti Nama Diri Pertama

    Kata yang digunakan untuk menggantikan diri orang yang bercakap. Menurut Arbak Othman (1981:35), kata ganti nama tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya. Perbezaan penggunaan kata ganti nama ini bergantung kepada taraf orang yang bercakap dan orang yang dilawan cakap. 
Contohnya :
  •  Aku = digunakan apabila bercakap dengan kawan biasa atau dengan Tuhan.
  • Saya = digunakan apabila bercakap dengan seseorang yang baru dikenal atau dalam suasana rasmi.
2. Kata Ganti Nama Diri kedua

    Kata yang digunakan ketika kita berbual dengan seorang. Kata ganti nama ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu bentuk tunggal dan bentuk jamak.
Contohnya:
  • Awak = digunakan untuk diri orang kedua yang rapat hubungannya dengan kita.
  • Kalian = digunakan untuk beberapa orang yang diajak bercakap.
3. Kata Ganti Nama Diri Ketiga

    Menurut Arbak Othman (1981:37), kata ganti nama diri ketiga adalah perkataan-perkataan yang dipakai bagi menggantikan orang yang dicakapkan yakni orang ketiga. 
Contohnya:
  • Beliau = digunakan untuk orang yang kita hormati, misalnya ibu bapa, guru, dan pemimpin.
  • Mereka = digunakan untuk orang yang bilangannya lebih daripada seorang. 
(Rujukan : Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra'in Shaari (2009:262-264). Semantik dan Pragmatik Bahasa melayu) 
Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan :
 " Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" - Dua orang atau pihak yang sama taraf atau darjat dalam adat.

No comments:

Post a Comment