Tuesday 19 March 2013

12. Jangan bersikap tamak


Sebagai seorang manusia biasa, kita mestilah bijak mengawal diri supaya tidak melakukan perkara-perkara yang salah atau kurang sopan. Sikap negatif yang perlu kita hindari ketika berbelanja adalah tamak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1583), tamak bermaksud ingin memiliki sesuatu tanpa batasan. Sikap ini wujud apabila kita ingin mempunyai sesuatu lebih daripada orang lain sama ada kita mampu atau tidak. 

     Apabila saya pergi ke pasar malam, sikap ini pasti akan berlaku. Namun, sejak akhir-akhir ini, saya berjaya mengawalnya. Peniaga pasar malam akan menjual makanan dan minuman serta baranag-barang lain yang mampu menarik minat kita untuk membeli. Mereka akan melaung-laungkan apa yang mereka jual untuk menarik perhatian pembeli. Jeritan suara mereka mampu membuat kita terpengaruh dan membeli barang tersebut. Kadang-kadang kita berbelanja melebihi apa yang diperlukan. 

     Jika membeli barang yang lambat rosak, kita boleh menyimpannya dalam jangka masa yang lama. Sebaliknya, apabila membeli makanan atau minuman, kita perlu segera menghabiskannya kerana tidak boleh tahan lama. Jika kita membelinya dalam kuantiti yang banyak, agak mustahil untuk menghabiskan makanan tersebut seorang diri. Di sini berlakulah pembaziran kerana sikap tamak kita tadi.

Sekadar selingan untuk pembaca dan rakan-rakan:
"Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" - Seseorang yang bernasib malang apabila memperoleh sesuatu, tetapi yang ada padanya hilang pula.

No comments:

Post a Comment