Friday 8 March 2013

5. Pentingnya 'nama'

Setiap individu pasti mempunyai nama tersendiri yang diberikan oleh ibu bapa masing-masing. Kini, nama anak-anak kian panjang dan sukar untuk disebut. Walau bagaimanapun, diharap nama-nama tersebut mempunyai maksud yang baik dan sesuai dengan anak-anak mereka. Secara umumnya, nama dapat didefinisikan sebagai panggilan atau sebutan bagi orang yang (barang, tempat, pertubuhan dan lain-lain). Setiap sesuatu yang dicipta disusuli dengan nama-nama tertentu. 

             Sudah menjadi kebiasaan masyarakat di negara kita memanggil seseorang individu dengan panggilan kehormat seperti Tuan, Puan, Dr., Profesor dan sebagainya. Selain itu, panggilan ini juga digunakan dalam keluarga. Contohnya, pak cik, along, abang, adik dan lain-lain lagi. Penggunaan panggilan ini mengikut susunan atau kedudukan seseorang di dalam keluarganya. Terdapat juga keluarga yang hanya memanggil nama sahaja.

         Di samping itu, sesetengah ibu bapa memanggil anak-anak mereka dengan panggilan yang berbeza dengan panggilan yang biasa digunakan. Hal ini kadangkala mendatangkan keburukan kepada anak-anak. Sejak kecil anak dipanggil dengan nama lain dari namanya sendiri. Mereka seakan sudah sebati dengan nama tersebut dan kekok apabila menggunakan nama sebenar. Gambar di bawah jelas menunjukkan kekeliruan yang dialami oleh pelajar apabila nama panggilan dan nama sebenarnya berbeza.

       Terdapat juga panggilan-panggilan yang unik tetapi sudah menjadi kebiasaan terutamanya dalam golongan remaja. Panggilan yang acap kali digunakan oleh sahabat-sahabat saya ialah 'yunk'. Panggilan ini digunakan untuk memanggil orang lain bagi menggantikan kata nama awak, kamu, anda dan sebagainya. Apabila menggunakan panggilan ini, hubungan persahabatan sesama rakan-rakan dilihat lebih akrab. Selain itu, dalam kalangan remaja lelaki penggunaan panggilan seperti 'bai' dan 'bro' pulas digunakan. Tuntasnya, panggilan ini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman dan teknologi.

Sekadar selingan untuk pembaca :
"Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama" - Seorang yang telah meninggal dunia tetapi kelakuannya masih diingati.

No comments:

Post a Comment